Sheraton Imperial KL: Đánh giá khách sạn 4 sao gần Kampung Baru

Sheraton Imperial KL: Đánh giá khách sạn 4 sao gần Kampung Baru

Sheraton Imperial Kuala Lumpur (10-11/2/2026)

Hotel ini adalah salah satu hotel di bawah rangkaian Marriott. Ianya terletak di Jalan Sultan Ismail iaitu berhampiran dengan Kampung Baru Kuala Lumpur. Mengikut carian saya di internet hotel ini telah memulakan operasinya pada tahun 1997. Ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, hotel ini telah menjalani pengubahsuaian besar-besaran dan dibuka semula pada 1 December 2021.

Ini merupkan kali keempat saya ke sini, kali terakhir ialah pada November 2025. Pada kali ini saya juga memilih bilik jenis 1 King Bed yang berharga RM482 di aplikasi Trip.com. Bilik ini mempunyai keluasan 452 kaki persegi. Saya tiba di hotel pada pukul 1.45 tengahari dan terus sahaja ke kaunter untuk proses daftar masuk. Lobi hotel ini luas dan cantik tetapi rekabentuknya agak lama. Proses daftar masuk agak lambat kerana pengunjung agak ramai pada masa saya tiba. Oleh kerana bilik saya belum lagi sedia, saya terlebih dahulu makan tengahari di restoran yang terletak berhampiran dengan hotel.

Pada kira-kira pukul 2.30 petang saya menerima panggilan mengatakan yang bilik saya telahpun sedia. Saya kembali semula ke hotel untuk mengambil kad akses bilik. Pada kali ini bilik yang saya inap terletak di Tingkat 31. Sebaik memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kanan pintu masuk. Di sebelah bilik air terdapat satu ruang tanpa pintu yang menempatkan tempat untuk menyangkut baju yang terbuka. Di sini juga terdapat rak untuk pengunjung meletakkan barang-barang mereka. Juga terdapat peti simpanan keselamatan serta seterika dan papan seterika. Dua pasang jubah mandi digantung di sini. Bertentangan dengan ruang ini iaitu di sebelah kiri lorong masuk terdapat satu kabinet yang menempatkan peti sejuk mini serta perkakas untuk membancuh minuman.

Di ruang katil pula selain satu katil king terdapat satu sofa yang sederhana besar di sebelah kanan katil. Di hadapan sofa ini diletakkan satu meja bulat yang agak besar. Di sebelah meja ini juga terdapat satu kerusi untuk pengunjung duduk sambil melakukan kerja-kerja pejabat. Bilik jenis ini tidak menyediakan meja kerja yang khusus. TV bersaiz 55 inci pula digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil. Ini adalah antara hotel yang menyediakan tilam dan bantal yang sangat selesa.

Memasuki bilik airnya terdapat singki di sebelah kanan sementara tab mandi pula di sebelah kiri. Saiz tab mandinya agk besar. Di hujung tab mandi terdapat ruang tandas yang terbuka sementara ruang pancuran pula terdapat di sebelah kanan di hujung singki. Hotel ini ada menyediakan gelung paip di sebelah mangkuk tandasnya. Ruang pancurannya ditutupi oleh cermin yang seratus peratus lutsinar dan ruangnya tidak begitu besar. Di dalamnya hanya terdapat pancuran jenis siling sahaja. Hotel ini ada menyediakan peralatan mandian yang lengkap. Bilik yang saya inap ini mempunyai pemandangan ke arah Kampung Baru (Quill City Mall).

Untuk wifi percuma pula, ianya mencapai kelajuan 38mbps. Telco pula agak perlahan di mana CelcomDigi hanya mencapai kelajuan 283mbps sementara Tune Talk pula 73mbps. Tekanan air di bilik mandi pula kuat tetapi airnya agak lambat untuk panas. Untuk siaran TV pula, hotel ini ada menyediakan banyak siaran percuma dan kebanyakannya di dalam bentuk HD.

Kolam renang hotel ini terletak di Tingkat 5 dan di kawasan yang terbuka. Lanskap dan susunan kerusi-kerusi di sini agak cantik tetapi sudah agak lama. Kolam renangnya agak besar dengan kedalaman 1.4 meter. Tidak terdapat kolam renang untuk kanak-kanak di hotel ini. Waktu kolam renang ini dibuka ialah pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 9 malam. Selain kolam renang terdapat juga sebuah gimnasium yang beroperasi 24 jam serta sebuah spa dan juga sauna.

Sarapan pula disediakan di restoran yang terletak di Tingkat 1. Menu yang disediakan banyak dan pelbagai. Seperti biasa saya hanya mencuba beberapa menu sahaja. Hotel ini juga ada menyediakan servis in-room dining. Bagi yang membawa kenderaan hotel ini ada menyediakan parkir tetapi pengunjung akan dikenakan bayaran sebanyak RM5 setiap kali masuk.

Hotel ini adalah antara hotel yang saya akan syorkan jika pengunjung ingin datang ke Kuala Lumpur. Walaupun ianya telah lama beroperasi, ianya diselenggarakan dengan baik dan hotel ini sangat bersih. Harganya sekitar RM400 amat berbaloi dengan keluasan bilik yang disediakan. Dari segi lokasi pula ianya terletak di seberang Quill City Mall dan juga berdekatan dengan Kampung Baru. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak hanya 100 meter dari Stesen Monorel Medan Tuanku dan 650 meter dari Stesen LRT Dang Wangi.

Seperti biasa saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil semasa menginap di sini. Jika pembaca ingin membaca ulasan saya untuk hotel-hotel yang lain, sila ke ruangan saya di group ini. Jika ingin mengetahui berkenaan staycation saya dengan lebih lanjut, sila ikuti saya di Facebook. Terima kasih kerana sudi membaca 😎


Đăng nhận xét

Mới hơn Cũ hơn